KUALA LUMPUR – Mengambil kira keselamatan atlet, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memutuskan gelanggang utama di Pusat Skuasy Nasional tidak digunakan untuk baki empat lagi acara akhir pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Timbalan Presiden SRAM, Nik Razeen A Daud berkata gelanggang utama itu sepatutnya digunakan bagi empat lagi acara akhir KL2017, namun didapati tidak menepati piawaian ditetapkan kerana didapati licin.
“Kami telah buat pemeriksaan dan didapati gelanggang itu tidak selamat, lantai licin,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Nik Razeen yang juga pengurus pasukan Malaysia untuk skuasy KL2017 berkata Pusat Skuasy Nasional adalah hak milik Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan SRAM tidak terbabit dalam proses pengubahsuaian pusat skuasy berkenaan.
Beliau berkata kontrak ukur dan pasang cermin serta lantai gelanggang adalah antara PSM dan kontraktor oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Gelanggang tersebut tidak akan diserahkan kepada SRAM selagi isu lantai tersebut tidak diselesaikan. Kontraktor janji ia akan siap sebelum 25 Ogos ini,” katanya.
Sebanyak sembilan pingat emas ditawarkan untuk acara squasy yang bermula sejak 21 sehingga 29 Ogos ini. – BERNAMA