KOTA KINABALU – Polis menahan tiga individu dan merampas dadah jenis syabu seberat 251.19 gram bernilai RM25,000 dalam satu serbuan di sini, semalam.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata kesemua suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 dan 30 tahun itu ditangkap dalam satu serbuan di Sembulan, di sini kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Narkotik Daerah Kota Kinabalu telah membuat pemerhatian terhadap sebuah kereta yang dinaiki sepasang kekasih dan sebuah motosikal yang dinaiki seorang lagi suspek.
“Semasa polis menghampiri kereta dan motosikal itu, kesemua suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan. Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang menaiki motosikal membawa sebuah beg mengandungi lima paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 251.19 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah, manakala siasatan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Chandra berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

