Semalam, kami siarkan audio rintihan salah seorang daripada 500 mangsa banjir yang terperangkap di SMK Manek Urai, Kota Bharu apabila pusat pemindahan itu dinaiki air sehingga ke tingkat tiga.
(BACA: Sedih… Dengarkan Rintihan Pilu Mangsa Banjir Di Manek Urai)
Susulan itu, ada mangsa yang memberitahu mereka terpaksa memasak air lumpur untuk minum berikutan ketiadaan bekalan makanan sejak dua hari lalu, memetik laporan Harian Metro.
Mereka juga terpaksa bergelap kerana bekalan elektrik sudahpun terputus.
Hakikatnya, bukan mudah untuk empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba ke lokasi tersebut.
Bayangkan, hampir lapan jam masa perjalanan yang diambil untuk sampai ke pusat pemindahan itu kerana terpaksa menempuh pelbagai halangan termasuklah arus deras.
Keempat-empat anggota penyelamat itu sudah bertolak dengan bot beroda sejak jam dua petang, dan hanya tiba pada pukul 10 malam.
Perjalanan agak sukar kerana tersekat-sekat disebabkan sesetengah kawasan yang tidak berair dan ada pula yang tenggelam.
Bagaimanapun, kehadiran kehadiran mereka untuk membantu terutama dari segi kaunseling dan sokongan moral nyata memberi kelegaan di hati para mangsa.
Pada masa yang sama, air di lokasi itu dilaporkan mula menunjukkan penurunan dan kemungkinan besar mereka tidak akan dipindahkan ke tempat lain.
Apapun, kami berharap agar para mangsa boleh bersabar dan memahami tugas pasukan penyelamat dan sukarelawan sedang berusaha sedaya upaya dalam menyalurkan bantuan. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=PW7SkDImnYs
Oleh: ELZA


