SEPANG – Sekurang-kurangnya empat orang mengalami kecederaan apabila sebuah penerbangan AirAsia X dari Taipei, Taiwan ke Kuala Lumpur mengalami gangguan gelora udara serius, semalam.
Memetik laporan akhbar berbahasa Mandarin tempatan, Sin Chew Daily, mangsa yang tercedera termasuk tiga orang penumpang dan seorang pramugari syarikat penerbangan tambang rendah antarabangsa itu.
Pesawat D7377 itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini pada 8.35 malam Rabu, namun penumpang cuma dibenarkan keluar 15 minit kemudian selepas ambulans tiba.
Seorang penumpang wanita yang enggan identitinya didedahkan memberitahu akhbar itu, pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan itu mengalami gelora udara serius ketika dalam perjalanan ke KLIA.
“Terdapat penumpang yang tercedera akibat tidak memakai tali pinggang keledar. Bagasi jatuh dari tempat simpanan di atas akibat gelora udara, menyebabkan kepala seorang penumpang terluka,” kata wanita itu.
Menurutnya lagi gangguan serius itu turut menyebabkan seorang pramugari terjatuh, manakala seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera di kepala dan pinggang akibat terjatuh selepas hilang kawalan.
“Seorang nenek juga cedera di kepala dan tidak boleh bergerak,” katanya lagi. Bagaimanapun sehingga laporan ini disiarkan, AirAsia X belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi insiden itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA