MELAKA – Dua lagi pusat pemindahan baharu dibuka di Melaka menjadikan kesemuanya 10 pusat dengan mangsa banjir terus meningkat kepada 646 orang daripada 141 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 522 orang melibatkan 115 keluarga malam tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata dua pusat pemindahan baharu yang dibuka masing-masing satu di daerah Alor Gajah dan Jasin menjadikannya lima pusat di setiap daerah berkenaan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka itu berkata pusat pemindahan berkenaan ialah Balai Raya Air Tawar di Jasin dan Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam di Alor Gajah.
“Bagi daerah Jasin, seramai 102 mangsa ditempatkan di SK Tehel dengan jumlah 25 keluarga manakala 45 orang daripada 10 keluarga pula ditempatkan di Balai Raya Seri Mendapat.
“Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum pula, seramai 243 orang melibatkan 56 keluarga, SK Tedong seramai 94 mangsa daripada 26 keluarga manakala seramai 11 orang daripada tiga keluarga ditempatkan di Balai Raya Air Tawar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata bagi daerah Alor Gajah pula, seramai sembilan mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Seri Jeram manakala sembilan mangsa daripada dua keluarga di Balai Raya Bukit Balai.
Katanya di Tadika JAIM Kampung Pulau pula melibatkan penempatan seramai 20 mangsa daripada lima keluarga, lapan orang daripada dua keluarga dan 68 pelajar tahfiz.
Effendy berkata seramai 37 orang daripada lapan keluarga pula ditempatkan di SK Belimbing Dalam.
Beliau berkata peningkatan jumlah mangsa banjir di negeri itu disebabkan hujan lebat yang turun dalam tempoh masa yang panjang sehingga menyebabkan kawasan terlibat dinaiki air.
Katanya kawasan yang dinaiki air di Jasin melibatkan Kampung Tehel, Kampung Tersusun Seri Mendapat, Kampung Air Tawar, Kampung Kilang Berapi dan Kampung Tedong sementara bagi daerah Alor Gajah pula melibatkan Kampung Seri Jeram, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Panchor dan Kampung Belimbing Dalam. – BERNAMA

