KUALA LUMPUR – Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Angkatan Muda Keadilan (AMK) menjulang dakwaan Ketua Jurulatih Bola Sepak Wanita Thailand, Spencer Prior kononnya Sukan SEA di Malaysia kali ini antara temasya paling buruk pernah dianjurkan.
Setiausaha AMK, Chang Lih Kang berkata, dakwaan Ketua Jurulatih Bola Sepak Wanita Thailand itu merupakan satu krisis dalam penganjuran Sukan SEA dan memalukan Malaysia kerana menjadi tuan rumah yang tidak bertanggungjawab.
“Bagaimana hendak menjadi tuan rumah terbaik dalam sejarah penganjuran temasya ini? Sedangkan sudah ada rungutan yang dilontarkan terhadap penganjur.
“Sukan SEA merupakan medan untuk menggalakkan kerjasama, persefahaman dan menguatkan hubungan antara negara-negara rantau Asia Tenggara.
“Oleh itu gunakan medium ini sebaiknya selaku tuan rumah yang bertanggungjawab,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Jurulatih Bola Sepak Wanita Thailand mengkritik penganjur Sukan SEA kali ini apabila menyifatkan Sukan SEA kali ini antara temasya paling buruk pernah dianjurkan.
Spencer Prior membuat dakwaan itu hanya kerana skuad kendaliannya sekadar sempat berlatih selama 15 minit sebelum diminta memberi laluan kepada pasukan lain untuk membuat latihan.
Beliau bagaimanapun mengakui pasukannya hanya sempat berlatih selama 15 minit kerana kelewatan pasukannya sampai ke tempat latihan yang ditetapkan oleh penganjur.
Dakwa beliau, ia berpunca daripada kesilapan pegawai bertugas yang didakwa menyatakan jarak antara hotel penginapan dan venue latihan hanya tiga kilometer (km) sedangkan ia sejauh 30 km. – MYNEWSHUB.CC

