JOHOR BAHRU – Empat kematian bagi kes denggi dicatatkan di Johor pada minggu ke-32 melibatkan tempoh dari 6 hingga 12 Ogos ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat.
Bagaimanapun, tiada data perbandingan sama ada terdapat kematian pada tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata empat kematian itu melibatkan seorang wanita tempatan, seorang wanita warga Vietnam, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki dewasa tempatan, berusia antara 11 dan 39 tahun.
“Sementara itu, jumlah kematian disebabkan denggi sehingga minggu ke-32 ini turut menunjukkan peningkatan iaitu 18 kematian berbanding 12 kematian yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada minggu ke-32 juga, kes denggi dilihat turut meningkat kepada 260 kes berbanding minggu ke 31 sebanyak 258 kes.
“Perubahan serotaip Den 1 (jenis virus denggi) kepada Den 3 telah menyebabkan kes meningkat pada beberapa minggu kebelakangan ini. Fenomena ini diterukkan lagi dengan keadaan cuaca yang berselang panas dan hujan pada masa ini menyebabkan pembiakan aedes adalah sangat menggalakkan,” kata Ayub.
Bagaimanapun, semua kawasan kes yang positif chikungunya telah dibuat semburan racun dan juga larvaciding. Kawalan terhadap lokasi-lokasi kes telah pun dilaksanakan, katanya.
Buat masa ini, Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengeluarkan alert chikungunya semenjak bulan Mac dan akan memantau kes-kes dari semasa ke semasa.
Bagi tempoh Januari sehingga 12 Ogos, kes denggi yang dicatatkan adalah sebanyak 5,232, menunjukkan penurunan sebanyak 37.3 peratus berbanding 8,349 kes yang dilaporkan pada tempoh yang sama pada 2016,” kata Ayub.
Menurut beliau, kes tertinggi bagi minggu ke-32 dilaporkan dari daerah Johor Bahru dengan 76.2 peratus diikuti dengan Kulai (14.2 peratus), Kluang (1.9 peratus), Batu Pahat (1.9 peratus), Tangkak (1.5 peratus), Muar (1.2 peratus), Mersing (1.2 peratus), Kota Tinggi (0.8 peratus), Pontian (0.8 peratus) dan Segamat (0.4 peratus).
Manakala daerah yang menunjukkan peningkatan kes ialah Kulai (empat kes), Mersing (tiga kes), Muar (dua kes), Batu Pahat (dua kes), Segamat (satu kes) dan Pontian (satu kes).
Selain itu, sebanyak 24 lokaliti wabak baru telah dilaporkan iaitu 22 lokaliti di daerah Johor Bahru dan dua di Kulai. – BERNAMA

