MELAKA – Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada lebih 300 orang tengah hari ini berbanding 254 mangsa pada sebelah pagi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata angka itu tidak termasuk jumlah mangsa di dua pusat pemindahan yang baru dibuka di Sekolah Agama JAIM Tanjung Minyak dan Projek Perumahan Rakyat Krubong.
“Kita masih belum mendapat angka sebenar mangsa banjir di dua pusat tersebut dan masih dalam proses mengemas kini data, katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya mangsa di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdulah di Batu Berendam meningkat kepada 241 orang melibatkan 59 keluarga berbanding 198 mangsa dengan 50 keluarga pada sebelah pagi.
Jumlah mangsa banjir di di Balai raya Peringit pula bertambah kepada 30 orang daripada 12 keluarga berbanding 23 orang dengan lapan keluarga pada pagi tadi, manakala bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Paya Ikan pula kekal 33 mangsa melibatkan enam keluarga, katanya. – BERNAMA

