KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) melabelkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang ditahan berhubung kes perlombongan haram bauksit di Kuantan, Pahang baru-baru ini sebagai pengkhianat negara.
Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh berkata, tidak ada toleransi yang wajar diberikan kepada pengkhianat-pengkhianat bangsat dalam kalangan kakitangan JKDM dan PTG terbabit.
“Aktiviti membantu perlombongan haram sewaktu moratorium yang telah diumumkan oleh kerajaan merupakan perbuatan khianat kepada negara, insan dan alam sekitar.
“Warga Kuantan menunggu untuk menyaksikan bukti kemahuan politik pejabat Peguam Megara untuk mendakwa mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahkamah Majistret Kuantan pada 3 Ogos lalu membenarkan sembilan kakitangan PTG ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes perlombongan haram di sekitar bandar ini
Semua suspek yang berusia antara 29 hingga 59 tahun itu ditahan dalam serbuan SPRM antara pukul 3.30 petang hingga 3.45 petang semalam, di beberapa lokasi di sekitar daerah ini.
Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perlombongan bauksit secara haram meskipun kerajaan mengenakan perintah moratorium sejak 15 Januari 2016 yang sepatutnya tamat pada 31 Disember ini. -MYNEWSHUB.CC

