SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Lambang, Anugerah Dan Gelaran (Negeri Sembilan) 2017.
RUU itu yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, diluluskan setelah mendapat sokongan majoriti anggota dewan, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr Awaludin Said semasa persidangan Dewan Undangan Negeri.
Mohamad (BN-Rantau) semasa pembentangan berkata, RUU itu yang digubal antaranya bertujuan mengekang kesalahan berkaitan penyalahgunaan lambang, penggunaan gelaran palsu termasuk penganjuran majlis penganugerahan secara tidak sah sekali gus membolehkan penguatkuasaan dan pendakwaan dilakukan ke atas individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut.
“Ia bertujuan mencegah penggunaan tidak wajar Lambang, Anugerah atau Gelaran yang dikurniakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan segala perkara berkaitan dengannya.
Ini kerana banyak laporan dalam media massa berkaitan penyalahgunaan dan pemalsuan Darjah Kebesaran dan Lambang Kerajaan dan jenayah ini dilihat semakin berleluasa dan enakmen sedia ada tidak mampu membendung perkara ini.
“Selain itu, terdapat juga kes-kes yang dilaporkan berhubung penganugerahan pingat tidak diiktiraf di luar negeri dan penggunaan Darjah Kebesaran yang telah dilucutkan, namun kerapkali jugalah tindakan undang-undang terutamanya penguatkuasaan dan pendakwaan tidak dapat dilaksanakan atas faktor kekangan dari segi teknikal perundangan. Ini sekali gus menjejaskan kelancaran dan kelicinan proses perundangan sedia ada,” katanya.
RUU itu digubal bagi menghapuskan enakmen sedia ada iaitu Enakmen Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1991,
Ketika membahaskan RUU tersebut, Mohamad turut membentangkan pindaan dua daripada 16 fasal iaitu fasal 4 dan fasal 8.
“Fasal 4 kita buat sedikit pindaan iaitu seseorang tidak boleh menyatakan dirinya dengan memasukkan perkataan tambahan iaitu dalam apa jua bentuk.
Bagi Fasal 8 pula, denda dan penalti ditambah iaitu denda minimum RM100,000 dan maksimum RM500,000 manakala penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun supaya ia mencerminkan kerajaan serius mengekang jenayah itu sekali gus menyelaraskan penalti dan denda terhadap syarikat yang mengeluarkan, penganjur majlis, yang menggunakan, yang memiliki, yang mencetak kad nama termasuk individu yang menjadi orang tengah,” katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamad berkata RUU itu turut terpakai kepada mereka yang menggunakan gelaran palsu dari luar negara.
“Selepas dapat kelulusan hari ini, kita akan buat pewartaan setelah diperkenankan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
“Dalam proses pewartaan itu nanti, kita akan buat pengumuman umum supaya orang ramai tahu bahawa satu RUU telah diluluskan hari ini dan mereka yang ada kena mengena atau ada kaitan dengan isu salah guna lambang, mohor atau gelaran ini termasuk yang menganjurkan majlis penganugerahan dan yang hadir akan didakwa.
“Pengumuman ini supaya bila nanti kita kuatkuasakan undang-undang ini, boleh jadi dalam masa enam bulan lagi, tiada soal mereka tidak tahu dan cuba lari daripada penguatkuasaan,” katanya.
Mana-mana premis yang menjalankan perniagaan mencetak kad nama, sekiranya mereka mendapat pelanggan yang ingin mencetak kad nama dengan gelaran, perlulah (premis berkenaan) meminta pelanggan mereka itu surat kelulusan Istana, kerajaan negeri, Datuk Undang dan Tunku Besar Tampin sebagai perlindungan untuk mereka (premis),” katanya.
Justeru, Mohamad berkata mereka yang menjalankan kegiatan tidak bermoral ini agar berhati-hati dan segera menghentikannya.
Persidangan DUN ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. -BERNAMA

