LAHAD DATU – Hospital Lahad Datu di sini menerima sebuah lagi mesin hemodialisis baharu sumbangan Junior Chamber International (JCI) Lahad Datu.
Senator JCI Sia Yit Su berkata, sumbangan itu dilakukan selepas Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Lahad Datu Tan Chen Teng menyuarakan hasrat kepada JCI Lahad Datu mengenai keperluan memperoleh empat mesin berkenaan.
“Menggunakan tabung kebajikan JCI Lahad Datu, kami bersetuju menyumbangkan sebuah mesin hemodialisis bernilai RM46,640 untuk menampung keperluan pesakit dalam senarai menunggu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sia berkata difahamkan Hospital Lahad Datu mempunyai 22 mesin Hemodialisis namun jumlah itu masih belum mencukupi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr Esmar Abd Hamid menzahirkan terima kasih terhadap keprihatinan JCI Lahad Datu dan Lembaga Pelawat Hospital yang peka terhadap keperluan pihak hospital dalam merawat pesakit.
“Kami memerlukan mesin itu ekoran penambahan jumlah pesakit pada setiap tahun,” katanya.
Terdahulu, Tan Chen Teng berkata pihaknya akan terus berusaha mencari dan penyumbang bagi memperolehi tiga lagi mesin Hemodialisis untuk Hospital Lahad Datu. – BERNAMA