NEW YORK – Qatar mendakwa negara Arab melanggar undang-undang antarabangsa dengan memulaukan negara itu dan menyifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tempat paling wajar mencari penyelesaian.
Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan hubungan dengan Qatar, 5 Jun lalu selepas mendakwa negara pengeksport minyak itu menaja pengganas dan menyokong seteru serantau Iran.
Doha menafikan semua tuduhan itu.
Keempat-empat negara itu turut memutuskan hubungan udara dan perairan dengan Qatar selain menyekat puluhan kumpulan dan individu.
Sabtu lalu, UAE berkata Doha perlu mengubah dasarnya sebelum rundingan dilakukan.
“Seluruh kempen ini menunjukkan banyak pelanggaran undang-undang antarabangsa,” kata Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani kepada pemberita, selepas bertemu dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
“Qatar akan berusaha mengambil segala langkah untuk mengatasi pelanggaran undang-undang ini dan cuba menyelesaikannya menerusi saluran sepatutnya.
“PBB adalah platform permulaan sesuai,” katanya tanpa mengulas lanjut. – Reuters/BH ONLINE

