SINDIR… Mungkin ada mesej tersirat di sebalik gimik terbaharu pemimpin Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos apabila menaiki koc Transit Aliran Massa (MRT) kali ini.
Bayangkanlah beliau yang sering tampik dengan idea kreatif kali ini sanggup bersama-sama ‘mockup‘ Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dari stesen Stadium Kajang ke stesen Sungai Buloh.
Menurut portal berita tempatan AgendaDaily, Jamal muncul diiringi sejumlah 50 pengikutnya tiba di stesen berkenaan sekitar pukul 10.30 pagi Jumaat dengan membawa gambar Wan Azizah menaiki tren MRT tersebut.
Pada gambar berdiri itu bertulis ayat sinis: “Tq (terima kasih) PM (perdana menteri) kerana menyediakan perkhidmatan MRT dari Kajang ke Sungai Buloh. Mudah la Kak Wan menziarahi suami Kak Wan di Sungai Buloh.”
Sebelum ini media melaporkan anak sulung Anwar, Nurul Izzah, mengirim ucapan terima kasih menerusi Twitter kepada perdana menteri kerana memendekkan perjalanan untuk melawat bapanya di Penjara Sungai Buloh.
Naib Presiden PKR itu dipercayai menjawab Twitter oleh Datuk Seri Najib Tun Razak:“Bermula esok, perjalanan untuk melawat kenalan di Sungai Buloh dari Kajang akan menjadi lebih mudah dan selesa! #JomNaikMRT”
Perdana Menteri turut sebelum itu menyindir pembangkang dengan catatan menerusi Facebooknya berbunyi “Inilah Langkah Kajang sebenar” yang merujuk kegagalan PKR menjayakan Langkah Kajang di bandar sate itu.
Baca: “Inilah Langkah Kajang Sebenar” – Sindir PM
Juga: Terima Kasih PM Pendekkan Perjalanan Sg. Buloh-Kajang
Wan Azizah yang juga Presiden PKR kebetulan ADUN Kajang, manakala suaminya yang baru dilantik sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan; kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kes liwat.
Dalam sidang media di perkarangan Stesen Sungai Buloh, Jamal berkata, tindakan itu bertujuan mendesak pembangkang berhenti kritik usaha kerajaan meningkatkan kualiti pengangkutan awam demi kemudahan rakyat.
“Kami hairan melihat politik pihak sebelah sana dari Pakatan Harapan, apa yang kerajaan buat sebegini baik dan indah untuk kegunaan rakyat, mereka cuba menidakkan dan menfitnah kerajaan dengan pelbagai tohmahan.
“MRT benda yang baik ada di depan kita pun mereka fitnah, malah mereka lebih percaya lagi fitnah jahat seperti DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) konon ada kes penyelewengan dana daripada 1MDB,” ujar Jamal.
Beliau turut mempelawa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menaiki MRT bersama-samanya untuk menikmati sendiri kemudahan disediakan pihak Barisan Nasional dan tidak lagi memfitnah kerajaan pusat secara berterusan.
“Saya juga kesal dengan Rafizi dan saya sediakan tiket pergi balik dari Kajang ke Sungai Buloh. Sampai situ, bolehlah lawat bos beliau dan rasai bagaimana canggih sistem MRT ini,” katanya sinis. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

