PUTRAJAYA – Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jenderal Gatot Nurmantyo hari ini melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini.
Pertemuan itu dilakukan bersempena lawatan rasmi Gatot ke Malaysia bagi menghadiri Sidang ke-13 High Level Committee Malaysia-Indonesia (HLC Malindo) yang sedang berlangsung dari 17 hingga 25 Julai.
Mesyuarat HLC Malindo akan bermula esok di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Selain Najib, delegasi Malaysia turut diwakili Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam pertemuan kira- kira 20 minit itu.
Selepas kunjungan hormat itu, Najib menganugerahkan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Kehormat kepada Gatot dalam satu istiadat khas. – BERNAMA

