IPOH – Tempoh tahanan reman pasangan kekasih dipercayai anggota Geng Mamak yang ditahan pada 6 Dis lepas, dilanjutkan enam hari lagi bermula hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak ACP Fadzil Ahmat berkata perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.
“Perintah reman mereka berakhir semalam dan kita mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk sambung reman bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Suspek lelaki, yang berusia 52 tahun itu berasal dari Kampung Stesen, Kuala Kangsar, bersama-sama teman wanitanya yang berusia 33 tahun ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Desa, Kampung Tawas di sini pada 6.20 petang 6 Dis lepas.
Dalam kejadian itu polis turut merampas dua kereta jenis Proton Perdana dan Honda Civic, satu vest polis dan peralatan pecah rumah.
Suspek lelaki yang positif dadah itu mempunyai 25 rekod jenayah lampau seperti samun, pecah rumah, serta rekod dikehendaki di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka manakala wanita yang berasal dari Sungai Siput itu juga positif dadah. – BERNAMA