MELAKA – Seramai 20 mangsa banjir kilat di Melaka masih berada di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Tehel Jasin, dekat sini, setakat 8 pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata empat keluarga tersebut berada dalam keadaan baik dan menerima bantuan secukupnya daripada agensi berkaitan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka.
“Keadaan cuaca pada pagi ini bertambah baik namun APM akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya yang juga Ketua Sekretariat JPBN Melaka, dalam kenyataan.
Beliau berkata banjir berlaku disebabkan air sungai di beberapa kawasan melimpah akibat hujan lebat pada Isnin lepas. – BERNAMA

