KEMAMAN – Sebanyak 75 keluarga dari Kampung Padang Kubu di sini terpaksa berpindah buat kali kedua selepas kediaman mereka sekali lagi ditenggelami air banjir malam tadi.
Seorang mangsa Zainab Osman, 57, berkata beliau dan penduduk yang lain pulang kira-kira pukul 7.30 petang semalam, namun kira-kira pukul 10 malam tadi, mereka terpaksa berpindah pula ke pusat pemindahan di Masjid Padang Kubu selepas air naik sehingga paras paha.
“Saya mula berpindah sejak dua hari lepas ketika air mencecah paras lutut dan bila air semakin surut, saya ambil keputusan untuk pulang melihat keadaan rumah saya.
“Namun tidak sampai empat jam, air kembali naik dan saya dan yang lain terpaksa berpindah semula,” katanya.
Beliau berkata gelombang banjir kali kedua agak teruk kerana hanya beberapa jam sahaja air mula memenuhi rumahnya dan menyebabkan beliau tidak sempat menyelamat barangannya.
Tinjauan Bernama di sekitar Kampung Air Putih, Kampung Tebak dan Kampung Dadung mendapati sebahagian rumah masih ditenggelami air sehingga paras bumbung manakala sebahagian jalan juga masih tenggelam. – BERNAMA

