GENAP seminggu selepas diarahkan bercuti serta merta oleh Lembaga Pengarah Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), dua daripada mereka telah diberi surat tunjuk sebab semalam.
Perkara tersebut melibatkan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Ahmad Tifli Mohd. Talha, menurut laporan media tempatan.
Kedua-dua telah diberi surat tunjuk sebab yang perlu dijawab dalam tempoh tujuh hari. Lembaga Pengarah FGV telah memaklumkan kepada pihak Bursa Malaysia mengenai pengeluaran surat tunjuk sebab berkenaan Selasa.
Mereka berdua bersama dua lagi pegawai tinggi FGV diarah untuk bercuti serta merta itu bagi membolehkan siasatan audit dalaman berhubung hutang tertunggak Safitex Trading LLC dengan Delima Oil Products Sdn. Bhd.
Difahamkan pada kelazimannya dalam amalan urus tadbir korporat, apabila surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada mana-mana individu, ia bermakna memang ‘ada kes’ kuat terhadap mereka sebelum tindakan susulan diambil.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV berkata Zakaria dan Ahmad Tifli turut diberi tempoh selama tujuh hari untuk mengemukakan jawapan bertulis membabitkan dakwaan yang disenaraikan dalam surat tunjuk sebab itu.
Mereka juga akan terus bercuti hingga mendapat notis selanjutnya daripada Lembaga Pengarah FGV. Pada minggu lalu, Lembaga tersebut mengarahkan empat pegawai kanannya itu untuk bercuti berkuat kuasa serta-merta.
Baca: Urus Niaga Diragui, Zakaria Dapat Surat Tunjuk Sebab?
Kenyataan lembaga berkenaan namun tidak menyatakan mengenai Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd. Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar yang turut bercuti dengan serta merta.
Semasa diarah untuk bercuti secara mengejut mulai Selasa minggu lalu, Zakaria menegaskan bahawa konon beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana mendakwa tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap syarikat tersebut.
Beliau juga telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabatnya di Putrajaya pada keesokan harinya mengenai beberapa perkara dalam urus tabur FGV yang dikatakan menjadi isu.
Sepasukan pegawai SPRM kemudian melakukan serbuan di pejabat Zakaria pada hari berikutnya dan mengambil masa lebih lapan jam untuk memunggah pelbagai dokumen berkaitan untuk proses siasatan yang lebih terperinci.
Serentak pada hari sama, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala turut datang ke ibu pejabat Felda di ibu negara setelah dilantik sehari sebelumnya sebagai pihak penilaian bebas oleh kerajaan.
Beliau dilaporkan bertemu sendiri Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad dan berjaya mengambil beberapa dokumen yang dikatakan laporan pengauditan urus niaga berkaitan isu FGV itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

