KUALA LUMPUR – Rakyat diminta menghormati keputusan lembaga pengarah The Star yang menggantung tugas dua editor kanannya berhubung terbitan muka hadapannya pada keluaran 27 Mei lalu yang menimbulkan kontroversi.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata apa yang menjadi keutamaan ialah The Star sama sekali tidak berniat untuk ‘melabel’ masyarakat Islam di negara ini sebagai pengganas.
Malah katanya, beliau juga percaya pengurusan akhbar The Star akan mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya berhubung perkara itu.
“Ia adalah persepsi pembaca yang adakalanya tidak membaca kandungan sebaliknya hanya melihat tajuk dan gambar muka depan sahaja.
“Jadi pada saya, kita perlu lebih sensitif dan ini bukan hanya kepada penerbitan The Star tetapi kepada semua akhbar yang ada ada di Malaysia,” katanya pada satu sidang media hari ini.
Semalam, pengurusan akhbar The Star bertindak menggantung tugas editor kanannya iaitu ketua pengarang kumpulannya, Datuk Leanne Goh dan Pengarang Eksekutif, Dorairaj Nadason.
Penggantungan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dalaman berhubung penerbitan muka hadapan akhbar itu siaran 27 Mei lalu.
Muka hadapan akhbar berkenaan menyiarkan gambar umat Islam sedang menunaikan solat Tarawih bersama satu artikel mengenai pengganas bertajuk ‘Malaysian Terrorist Leader’.
Ia mencetuskan kemarahan oang ramai yang kemudiannya meminta agar pihak berkenaan mengambil tindakan ke atas penerbit akhbar terbabit. – MYNEWSHUB.CC