LONDON – Gol daripada Alexis Sanchez dan Aaron Ramsey mengesahkan kejuaraan ke-13 Piala FA buat Arsenal selepas menewaskan Chelsea 2-1 di pentas final.
Mendahului seawal minit ke-4 menerusi jaringan kontroversi Sanchez, Arsenal begitupun tampak ingin melalui jalan sukar apabila Chelsea menyamakan kedudukan pada babak kedua sekali pun beraksi 10 pemain.
Chelsea terpaksa beraksi 10 pemain selepas Victor Moses diarah keluar padang kerana dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-68 kerana sengaja merebahkan badan.
Begitupun, lapan minit kemudian, Chelsea yang masih segar dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris menyamakan kedudukan menerusi Diego Costa.
Tertekan dengan jaringan berkenaan, Arsenal menggandakan serangan namun gagal menemui penyudah yang diharapkan sebelum Ramsey menjaringkan gol pada minit ke-79 berpunca daripada hantaran pemain gantian, Olivier Giroud.
Kemenangan turut menghadiahkan pengurus Arsenal yang berada dalam tekanan, Arsene Wenger kemenangan ketujuh Piala FA selaku pengendali The Gunners.
Ia meletakkan pengendali dari Perancis itu selaku pengurus paling berjaya di pentas Piala FA mengatasi bekas pengurus Aston Villa, George Ramsey. – AFP