KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) mempelawa orang ramai memberi maklum balas mengenai cadangan untuk menambah baik profesion akauntan di negara ini.
SC dalam satu kenyataan media memberitahu, cadangan itu berdasarkan kertas rundingan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Memperkukuhkan Profesion Akauntan (CSAP).
“CSAP panel pelbagai agensi yang ditubuhkan Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kertas rundingan dan mempelawa maklum balas orang ramai ke atas cadangan menambahbaik profesion akauntan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, antara cadangan yang digariskan adalah meningkatkan sumbangan para akautan dalam membangunkan negara.
Kertas itu turut mencadangkan negara mempunyai bilangan akauntan profesional yang secukupnya dan mengawal selia keberkesanan tadbir urus profesion akauntan.
“Orang ramai boleh memuat turun kertas rundingan itu pada laman web SC dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
“Maklum balas perlu diemel kepada [email protected] dan tarikh tutup pada 31 Januari 2015,” kata kenyataan itu.

