KOTA KINABALU – Golongan belia di Sabah perlu memanfaatkan ruang dan peluang disediakan oleh kerajaan untuk mengasah bakat masing-masing agar dapat menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri sentiasa melakukan terbaik dalam memenuhi aspirasi dan keperluan golongan belia serta komited dalam memacu golongan itu untuk menjayakan pelbagai dasar dan program kerajaan pusat seperti Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Buktinya kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM15.35 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan negeri tahun ini bagi membantu memperkasakan golongan belia, meningkatkan kecemerlangan sukan dan mengarusperdanakan pembangunan belia dan sukan.
“Kerajaan negeri juga amat menitikberatkan pembangunan modal insan dan telah memperuntukkan RM219.84 juta bagi pelaksanaan program-program latihan untuk semua rakyat, termasuk belia,” katanya ketika melancarkan sambutan Hari Belia peringkat negeri di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin.
Musa turut yakin belia Sabah mempunyai keupayaan dan jati diri yang unggul untuk menjadi pemimpin dan menentukan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial negara di masa hadapan. – BERNAMA

