KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memeriksa lebih 20 peratus daripada 137 buah sekolah pondok dan sekolah agama di seluruh Pahang bagi memastikan mereka memenuhi tahap keselamatan kebakaran.
Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata daripada pemeriksaan itu, pihaknya mendapati terdapat beberapa sekolah yang gagal mematuhi tahap keselamatan dan piawaian yang ditetapkan jabatan.
“Bagaimanapun setelah dilawati kita telah memberi ceramah berkaitan kebakaran selain turut menyumbang beberapa peralatan asas selain turut memberi tunjuk ajar dan perkara-perkara yang perlu diambil,” katanya.
Abdul Wahab berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 peringkat negeri Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan pemeriksaan di semua sekolah berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang.
Sementara itu, buat julung kali JBPM Pahang telah memperkenalkan Anugerah Tokoh Bomba Pahang yang disampaikan kepada bekas Pengarah Bomba Pahang Saad Junit, 81, yang menyarung pakaian seragam bomba daripada tahun 1962 hingga 1991 di beberapa buah negeri.
Anak kelahiran Bera dekat sini, menjawat jawatan sebagai Pengarah Bomba Pahang dari tahun 1973 hingga 1977 sebelum mengakhiri kerjayanya sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan Bomba di ibu pejabat pada 1989 hingga 1991.
Saad semasa ditemui mengucapkan terima kasih dengan penganugerahan iitu dan menasihatkan anggota bomba agar dapat melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Saya lihat kemudahan yang ada sekarang dari segi peralatan kebombaan telah banyak serta lebih moden selain latihan-latihan yang mencukupi.
“Perkembangan ini dapat menjamin kualiti dan perkhidmatan dengan lebih baik dan pantas,” katanya. – BERNAMA

