KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu dilantik, Syed Ibrahim Syed Noh beriltizam untuk mengerakkan parti itu di atas prinsip-prinsip Islam.
Kata beliau, prinsip seperti keadilan, kebenaran, kebebasan, keamanan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dalam Islam akan menjadi panduan umum buat beliau.
“Islam bersifat rahmat kepada sekelian alam. Islam menuntut prinsip mengajak kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.
“Islam menuntut seruan dengan hikmah bijaksana dan nasihat pengajaran yang baik selain berhujah dengan lebih baik bukan sahaja kepada umat Islam tetapi kepada penganut agama lain seperti dinyatakan dalam Al-Quran, surah An-Nahl, ayat 125,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Syed Ibrahim dalam pada itu memaklumkan, beliau pernah melibatkan diri dengan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
Beliau juga pernah berada dalam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
Justeru, beliau berharap untuk menggunakan pengalamannya sertai semua pertubuhan dan gerakan tersebut dalam menjayakan penglibatan politik dengan PKR.

