BUTTERWORTH – Eksesais Air Thamal antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) akan dipertingkat bagi memastikan hubungan dua hala antara kedua-dua negara sentiasa berada di tahap yang membanggakan.
Panglima Operasi Udara TUDM, Lt Jen Datuk Seri Mutalib Ab Wahab berkata eksesais yang dijalankan sejak 1981 itu mampu menjalinkan hubungan rapat antara TUDM dan RTAF serta memperkukuh kerjasama kedua-dua negara terlibat.
“Selepas lebih 30 tahun dilaksanakan, siri-siri eksesais yang telah termeterai sekian lama itu akan diteruskan demi faedah bersama khususnya dalam aspek pertahanan ruang udara secara kolektif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Eksesais Air Thamal di Pangkalan Tentera Udara di sini hari ini.
Beliau berkata Air Thamal adalah antara rentetan kejayaan bagi TUDM dan RTAF dalam membuktikan kesungguhan kedua-dua pasukan udara itu memastikan jalinan kerjasama pertahanan antara dua negara jiran itu berada di tahap yang baik.
“Latihan-latihan sebegini akan membolehkan TUDM mendokong teras kesiapsiagaan yang terdapat dalam hala tuju Mindef (Kementerian Pertahanan) seperti yang dihasratkan oleh Menteri Pertahanan,” katanya.
Mutalib berkata TUDM dan RTAF juga bersedia untuk bertukar idea dan maklumat dalam usaha memelihara keamanan dan keharmonian di rantau ini.
Sebanyak 64 pegawai dan anggota lain-lain pangkat TUDM serta 45 anggota RTAF terlibat dalam eksesais Air Thamal yang bermula sejak 9 Mei lepas dan berakhir esok. – BERNAMA

