SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menyita 82 kereta klon di negeri ini sejak 2015, kata Pengarahnya Azrin Borhan.
Beliau berkata kebanyakan kereta klon ini adalah dari negara jiran dan pihaknya sedang mempertingkatkan usaha mengekang kegiatan itu.
“Sebanyak 18 kereta klon disita pada 2015, 56 pada 2016 dan lapan setakat tahun ini. Lapan kereta klon yang disita setakat tahun ini bernilai RM350,000 adalah jenis Toyota, Honda dan Proton Saga,” katanya kepada pemberita selepas majlis Lelongan Awam di Ibu Pejabat JPJ Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati apabila didatangi individu yang menjual kereta mewah dengan harga rendah dan perlu dapatkan bantuan JPJ atau Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk melihat kesahihan kereta tersebut.
“Bagi mereka yang menggunakan kereta klon pula, saya nasihatkan supaya serah diri di pejabat JPJ terdekat secara sukarela untuk mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.
Azrin berkata mereka yang ditahan kerana menggunakan kereta klon boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 disebabkan memiliki kenderaan tidak berdaftar, Seksyen 108 APJ 1987 kerana mempamerkan nombor kenderaan palsu, Seksyen 15 (1) APJ 1987 disebabkan tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta Seksyen 90 (1) APJ 1987 kerana tiada insurans kenderaan.
Mengenai kesalahan menggunakan lorong kecemasan semasa operasi Tahun Baru Cina Januari lepas, beliau berkata 196 notis telah dikeluarkan yang mana 84 individu (pemilik kenderaan) disaman setakat ini.
Sementara itu, katanya, 50 motosikal pelbagai jenis yang tidak dituntut pemiliknya setelah disita atas pelbagai kesalahan mendapat kelulusan mahkamah untuk dilelong dalam acara lelongan kali pertama bagi tahun ini, hari ini.
“Sebanyak 48 motosikal tersebut boleh didaftarkan kembali untuk digunakan, manakala dua lagi dilelong sebagai barangan lusuh kerana nombor casisnya tidak kelihatan,” katanya.
Seramai 40 individu mengambil bahagian membida motosikal tersebut dan harga lelongan bermula dengan RM50, yang mana motosikal jenis Yamaha RXZ dibida dengan harga tertinggi iaitu RM4,050, manakala motosikal Suzuki RC110S pula dibida dengan harga terendah iaitu RM100.
“Jumlah hasil lelongan itu ialah RM55,550,” katanya. – BERNAMA

