BAKAT yang dimiliki Naja Bollywood dalam menyanyikan semula lagu-lagu Bollywood sering disalahertikan sehingga dia menjadi mangsa kecaman dan kutukan netizen.
Ramai yang mengutuk Naja atau nama sebenarnya Nazar Daud, 24, dan ada tergamak menggelarnya sebagai seorang penyanyi yang bersuara ‘kepit’.
Menurut Naja, kritikan sebegitu mengguris hatinya kerana dia menggunakan teknik nyanyian ‘falsetto’ bukannya bersuara kepit.
“Komen sebegitu sebenarnya mengguris perasaan saya kerana perkataan ‘kepit’ itu sendiri merupakan perataan yang agak kasar dan tidak sedap didengar bagi saya.
“Untuk mendapatkan suara wanita seperti Lata Margeshkar, saya menggunakan teknik falsetto, bukan suara kepit yang memberikan gambaran saya seorang lelaki lembut,” katanya kepada mStar Online.
Jelas Naja, ketika ada pihak yang giat lempar kritikan terhadapnya, masih ramai juga yang tampil memberikan kata-kata semangat dan dorongan kepadanya agar terus menghasilkan video nyanyian semula lagu-lagu Bollywood.
“Saya seorang yang positif dan saya mengambil semua kutukan sebagai pembakar semangat untuk terus membuka mata mereka bahawa apa yang saya lakukan bukan sekadar syok sendiri tetapi disusuli dengan visi,” katanya.
Sebagai bukti, Naja turut memberitahu dia dan pihak pengurusannya bakal ke India selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk projek Bollywood pertamaya.
“Saya bakal berkolaborasi dengan komposer yang bertanggungjawab menggubah lagu filem Dilwale, Janam Janam, iaitu Pritam Chakraborty dan ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

