KUALA LUMPUR – Tindakan PAS yang dilihat cuba untuk mengheret institusi raja dalam mempertahankan kedudukan Exconya di Selangor adalah tidak wajar.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS juga wajib untuk memisahkan diri dari terlibat dalam apa jua kapasiti dengan PKR dan DAP yang didakwa telah mengkhianati parti itu.
“Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri kelihatan masih ragu-ragu di dalam mendukung keputusan Muktamar dan Majlis Syura Ulamak apabila cuba untuk menyandarkan kedudukan Exco PAS di Selangor kepada proses pelantikan Exco-Exco tersebut yang dibuat oleh Tuanku Sultan Selangor.
“Dari segi moralnya PAS wajib untuk memisahkan diri dari terlibat atau bersekongkol dalam apa jua kapasiti dengan PKR dan DAP yang didakwa telah mengkhianati PAS,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang mengatakan bahawa anggota-anggota Exco PAS kerajaan negeri Selangor akan hanya meletak jawatan sekiranya ianya mendapat perkenan dari Tuanku Sultan Selangor.
Malah katanya, Tuan Ibrahim seharusnya memahami bahawa PAS sendiri melalui muktamar dan Majlis Syura Ulamak telah memilih untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR dan DAP atas alasan mereka telah mengkhianati PAS dan menentang agenda perjuangan yang dibawa parti itu.
“Ini bermakna PAS tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan kedua-dua parti tersebut dan ini turut meliputi mana-mana kerajaan yang terdiri dari kedua-dua parti tersebut.
“Dalam situasi yang berlaku di Selangor sekarang, Exco-Exco PAS sepatutnya meletak jawatan serta merta sebaik sahaja Majlis Syura Ulamak mengesahkan keputusan Muktamar yang telah memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR tanpa perlu diminta atau dipaksa oleh sesiapa,” katanya.
PAS juga katanya tidak wajar meletakkan beban untuk mengosongkan kerusi Exco kerajaan negeri kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Bukannya Azmin dan PKR yang memutuskan hubungan tetapi sebaliknya PAS yang memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR.
“Oleh itu tidak ada keperluan untuk Azmin nak minta Exco PAS meletakan jawatan. Janganlah situasi di Selangor ini menjadikan rakyat melihat PAS tidak lebih dari ‘kartun politik’ yang tidak ketentuan hala,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=ihQyDJhQG1Y

