NEW DELHI – Semua pegawai tinggi kerajaan India kehilangan hak untuk menembusi kesesakan trafik dengan sengaja memasang lampu siren yang berwarna merah dinyalakan di kereta mereka.
Langkah dramatik tersebut sebenarnya sudah dikuatkuasakan sejak 1 Mei lalu, malahan peraturan tegas itu turut meliputi kereta dinaiki menteri, hakim, pegawai polis atau tentera selain pegawai pentadbiran kerajaan.
Selama ini mereka didapati sengaja berbuat demikian memandu laju untuk tiba cepat memaksa kenderaan lain terpaksa memberi laluan, namun ia menimbulkan perasaan marah rakyat dan mengganggu pergerakan trafik.
Kalangan pengguna yang menentang penggunaan lampu siren merah mendakwa, sebahagian besar individu penting tersebut menyalahgunakannya sebagai simbol status dan bukan atas sebab urusan rasmi atau situasi kecemasan.
Menteri Kewangan India, Arun Jaitley mengesahkan mulai 1 Mei lalu bahawa “tidak boleh lagi ada kenderaan yang dinaiki pegawai kerajaan menggunakan lampu siren merah dan peraturan itu tidak akan ada pengecualian”.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, melalui akaun rasmi Twitter beliau turut menulis bahawa lampu siren merah itu sebenarnya tidak sesuai dengan semangat era baharu di India dan seharusnya sudah lama ditiadakan.
Berdasarkan peraturan baharu, mulai bulan ini hanya lampu siren warna biru digunakan oleh kenderaan kecemasan rasmi iaitu polis, ambulans dan bomba yang berhak mendapatkan akses khusus di jalan raya ketika bertugas.
Media tempatan melaporkan ramai ahli politik dan pegawai kerajaan kerana “mementingkan status” sengaja memasang lampu siren merah hanya untuk mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk.
Golongan berkenaan mahu “menunjukkan bahawa mereka orang penting” apabila perlu bergegas ke sesuatu lokasi tertentu berbanding merancang jadual perjalanan lebih awal ke destinasi tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

