KUALA LUMPUR – Juara Liga Super Lembah Klang, Kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers adalah antara enam pasukan bola sepak komuniti terpilih untuk mencuba padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dinaik taraf bagi Sukan Kuala Lumpur 2017 (Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memaklumkan selain Shah Alam Antlers yang berpangkalan di Stadium Panasonic, Shah Alam, lima pasukan lain adalah Subang City FC (Subang), BNM FC (Lembah Klang), Pemanis FC (Kuala Terengganu), Majidee83 FC (Johor Bahru) serta Kelab Bola Sepak Kupang dari Baling, Kedah.
“Tahniah kepada 6 kelab yang bakal beraksi di #SNBJ. @nfdpmalaysia akan menghubungi anda dengan maklumat lanjut,” kata Khairy menerusi entri terbaharu dalam laman twitternya, hari ini.
Khairy menerusi laman twitternya sebelum ini, memaklumkan beliau mencari beberapa kelab bola sepak komuniti untuk diadakan aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum ia dibuka semula setelah proses menaik taraf stadium berkenaan selesai.
Stadium Nasional Bukit Jalil yang ditutup sejak Jun 2015, dijangka dibuka semula pada Julai ini iaitu sebulan sebelum bermulanya Sukan SEA 2017 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos. – BERNAMA

