HAMBAR… Setelah berkelana hampir seminggu ke luar negara, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seperti dijangkakan, hanya kira-kira 50 orang penyokongnya hadir dengan membawa pelbagai sepanduk bagi menyambut ketibaannya yang dikatakan pergi atas urusan rasmi ke Indonesia, Mesir, Maghribi dan Jordan.
Cakap-cakap nakal politik ‘kedai kopi’ bagaimanapun mendakwa konon angka tersebut sepatutnya jauh lebih ramai, namun cuma puluhan sahaja yang berjaya dikumpul sekali gus menggambarkan betapa lesunya sambutan kali ini.
Mujur dua exco kerajaan negeri dari PAS, Zaidy Abdul Talib dan Dr. Ahmad Yunus Hairi bersama Timbalan Speaker DUN Selangor, Shafie Ngah, yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor hadir ‘tunjuk muka’.
Portal berita tempatan melaporkan, turut kelihatan ialah beberapa orang lagi kalangan pemimpin PAS Selangor yang dilihat cukup ‘gembira’ ketika muncul untuk menyambut kepulangan Mohamad Azmin ke negeri tersebut.
Bagaimanapun, kelibat Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad, yang juga salah seorang lagi anggota exco kerajaan negeri nyata tidak kelihatan pada majlis ringkas anjuran kelab penyokong kerajaan negeri berkenaan.
Turut kelihatan, wakil rakyat PAS yang lain antaranya ADUN Meru, Dr. Abdul Rani Osman; ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman; ADUN Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan dan ADUN Seri Sedang, Noor Hanim Ismail.

Melihat situasi aneh ini, timbul persoalan, adakah mereka hanya ‘berlakon’ untuk menunjukkan kesepakatan dengan PKR atau sebenarnya ingkar akan keputusan diambil semasa Muktamar PAS kali ke-63 di Kedah?
Persidangan tahunan parti Islam tersebut yang juga terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14; telah secara muktamad memutuskan hubungan kerjasama politik atau disebut tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR.
Sebenarnya, apa yang berlaku di KLIA itu juga bukanlah satu perkara ganjil. Benar, muktamar telah mengambil ketetapan rasmi untuk memutuskan langsung hubungan dengan pihak PKR yang banyak mengkhianati PAS.
Namun secara teknikal, adalah menjadi hak pemimpin PAS Selangor sama ada ingin akur kepada keputusan muktamar atau memilih untuk keluar daripada PAS dan menyertai serpihannya, PAN atau PKR mahupun DAP.
Ketika ini, penganalisis politik hangat memperkatakan kononnya kerajaan negeri itu bakal ‘tumbang’ apabila tersebar desas-desus menyatakan bekas menteri besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dilantik semula.
Ini termasuk andaian beberapa wakil PKR mungkin ‘berpaling tadah’ menyokong Khalid selain BN pula tiada masalah untuk kerajaan negeri tersebut diterajui kembali beliau yang dipecat PKR secara zalim pada 2014 lalu.
Pada masa ini, kedudukan PAS dalam Dewan Undangan Negeri ialah 13 setelah dua wakilnya ‘melompat’ menyertai PAN, manakala PKR dianggotai 13 sementara DAP (14), BN (12) dan Bebas (dua). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

