TAWAU – Polis menahan 29 individu atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 39 motosikal dalam Ops Lejang di Batu 8, Kalabakan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, berkata semua suspek lelaki yang berumur antara 15 dan 45 tahun itu ditahan dalam operasi selama tiga jam bermula 3 petang di ladang-ladang di sekitar kawasan berkenaan.
“Mereka ditahan kerana memandu tanpa lesen dan cukai jalan telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Awang Besar berkata, operasi yang antara lain bertujuan untuk mengesan motosikal curi itu disertai dua pegawai serta 20 anggota dan pihaknya akan terus melaksanakan operasi seperti itu di kawasan lain di seluruh daerah ini. – BERNAMA

