Rayuan terakhir mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohammad Khir Toyo bagi mengetepikan hukuman penjara selama setahun, didengar di Mahkamah Persekutuan hari ini (Selasa).
Beliau yang memegang jawatan MB dari tahun 2000 sehingga 2008 disabitkan kesalahan menggunakan jawatannya sebagai menteri besar untuk mendapatkan dua lot tanah dan sebuah bunglo buatnya dan isteri pada harga rendah.
Dia tiba di mahkamah ditemani isterinya, Zahrah Kechik kira-kira jam 8.50 pagi.
Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan M. Athimulan dilantik menjadi peguambela beliau manakala DPP ialah Mohd Masri Daud.
Mengimbas kembali kes tersebut, pada 23 Disember 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Khir manakala hartanah tersebut dirampas.
Beliau didapati bersalah kerana menggunakan pangkatnya sebagai MB dan pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mendapatkan lot tanah dan kediaman pada harga bawah nilai pasaran.
Setahun kemudian, mahkamah rayuan mengekalkan hukuman tersebut. Lantas, mahkamah persekutuan menjadi medium terakhir membuat rayuan terhadap kesnya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR

