PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyarankan dua langkah diambil bagi mengekang isu kekecohan oleh samseng bola sepak terutamanya dalam perlawanan penting.
Katanya langkah berkenaan adalah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengharamkan penyokong yang mempunyai rekod kesalahan lampau daripada memasuki stadium.
Dia turut menambah pihak polis harus lebih tegas mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan itu.
“Insiden seperti yang berlaku di Stadium Shah Alam, malam tadi sudah banyak mencemar reputasi negara di peringkat Asia Tenggara.
“Malahan menerusi beberapa komen di laman sosial, ada pihak yang membuat kesimpulan bahawa ini (budaya samseng) adalah budaya orang Malaysia pada hal hanya segelintir sahaja.
“Kita perlu pulihkan semula maruah kita dan saya harap menerusi siasatan cepat dan rapi oleh pihak polis, kita dapat tunjuk kepada pihak Vietnam bahawa kita ambil serius perkara ini (masalah samseng bola sepak),” kata Khairy dalam kenyataan di pejabatnya, malam tadi.
Beliau mengulas tindakan liar segelintir penyokong Malaysia yang menyerang penyokong Vietnam berikutan kekalahan 2-1 skuad Harimau Malaya kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam, Ahad lalu. – BERNAMA

