TEMERLOH – Seorang guru Sekolah Kebangsaan Belengu di sini menerima durian runtuh apabila dinamakan sebagai pemilik kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger 2.2L XLT(AT) sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh hari ini.
Adli Daud, 41, menyertai peraduan itu secara suka-suka selepas didesak isterinya Nurul Fadilah Zainal Abidin, 36, yang berkata beliau sering bertuah sekiranya menyertai peraduan bertuah kerana jarang pulang dengan tangan kosong.
“Tapi lebih utama saya berpendapat ini rezeki anak syurga kami, Adam Mirza yang merupakan kanak-kanak sindrom down. Sejak beliau lahir 10 tahun lalu, rezeki saya semakin murah dan sering bawa pulang sesuatu walaupun kecil pada cabutan bertuah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Adli yang mengajar subjek Matematik dan Pendidikan Jasmani menambah isterinya yang juga seorang guru membawa pulang iklan cabutan bertuah itu yang diiklankan di akhbar.
“Saya hanya menghantar satu penyertaan. Isteri saya dan dua orang anak kami juga menghantar penyertaan, tapi tiada rezeki buat mereka. Pada program PNB Walk sebelum ini, mereka ada sertai peraduan tapi balik dengan tangan kosong dan mereka salahkan saya kerana kalah, sebab saya tidak turut serta,” katanya.
Bapa kepada empat orang anak ini yang berusia antara empat hingga 11 tahun berharap kereta itu akan mengubat hati keluarganya yang kecewa pada program tempoh hari.
Adli menambah beliau tidak menyangka akan membawa pulang kereta kerana panggilan telefon yang diterimanya hanya memintanya untuk segera datang ke majlis perasmian yang diadakan hari ini, kerana beliau merupakan seorang daripada lima pemenang teratas cabutan bertuah itu.
“Saya sebenarnya menjangka hanya akan menang telefon pintar i-Phone. Bila juruacara kata pemenang kereta ialah seorang bapa kepada empat orang anak, saya mula berasa seram sejuk kerana saya lihat pemenang lain agak muda.
“Saya tak ragu lagi bila diumumkan pemenangnya berusia 41 tahun. Terus saya tak tahu apa yang hendak dilakukan kerana ini adalah hadiah paling besar pernah saya menang setakat ini,” katanya.
Adli berkata ia menjadi lebih istimewa kerana hadiah disampaikan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini hanya dilihatnya daripada jauh di beberapa majlis yang dihadirinya.
Beliau berkata kereta itu akan dimanfaatkan untuk membawa buah-buahan dari dusunnya di kampung halamannya di Jeli, Kelantan untuk dikongsi dengan jiran dan rakan-rakannya. – BERNAMA

