MESKIPUN adakalanya rindu kerjaya pramugara yang telah diceburinya selama 17 tahun, namun Zarul tidak boleh pandang ke belakang lagi dan harus mara memperjuangkan aktiviti seninya.
Zarul atau Zairulkefli Husin, 43, berkata, bukan mudah melupakan tugas yang disandang hampir dua dekad, apatah lagi kerjaya itu mengajar dirinya lebih memahami kehidupan.
“Lumrah selepas 17 tahun berkecimpung melaksanakan tanggungjawab, mustahil perasaan rindu tidak pernah hadir. Tambahan pula saya bekerja sebagai pramugara untuk tempoh lama.
“Saya merindui suasana terbang ke luar negara terutama London yang sering saya kunjungi ketika berkhidmat. Boleh dikatakan hampir sebulan sekali saya singgah ke London.
“Walau apa pun, saya tidak pernah menyesal membuat keputusan ini kerana kerjaya nyanyian menjadi minat sejak dulu. Bagi saya setiap pekerjaan mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya kepada BH Online.
Selepas memenangi tempat ketiga pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim ketiga, Zarul mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pramugara Malaysia Airlines (MAS) pada hujung tahun lalu.

Sebelum itu, dia telah mengambil cuti selama tiga bulan bagi memenuhi komitmen terhadap rancangan realiti tersebut.
Selain nyanyian, bakat Zarul juga semakin menyinar dalam bidang lakonan.
Penampilan dalam drama pertama lakonannya berjudul Cik Serba Tahu kini disiarkan menerusi saluran Astro Ria.
“Syukur, percubaan sulung sebagai pelakon mendapat sambutan memberangsangkan. Secara tidak langsung kehadiran saya sebagai pelakon turut mendapat perhatian peminat baharu.
“Saya juga dipilih sebagai hero bagi telefilem berjudul Misteri Sofa Lama yang bakal ditayangkan pada 22 April ini di Astro Citra,” katanya lagi.
Tambah Zarul, dia berasa terharu kerana turut menjadi pilihan penerbit memeriahkan program untuk siaran televisyen sepanjang Syawal nanti. – MYNEWSHUB.CC