KUANTAN – Peningkatan jumlah pelancong yang mengunjungi Kuantan, memerlukan lebih banyak hotel dan tempat penginapan dibuka di bandar ini, kata Pengurus Besar Pelancongan Pahang Datuk Ishak Mokhtar.
Beliau berkata Kuantan mencatatkan kedatangan pelancong seramai 1.8 juta pada 2012 dan angka itu melonjak kepada 2.6 juta orang pada tahun lepas.
“Kedatangan pelancong yang bertambah dari tahun ke tahun memerlukan tempat tinggal yang selesa dan banyak.
“Justeru, pembukaan hotel baharu di Kuantan amat dialu-alukan oleh Pelancongan Pahang bagi memenuhi permintaan pelancong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Hotel Cathayana di sini, hari ini.
Beliau berkata setakat ini terdapat 148 hotel dan chalet di sekitar Kuantan termasuk di Cherating dan Sungai Lembing.
Sementara itu, Pengarah Hotel Cathayana, Lim Thiam Cheok berkata hotel yang bertaraf tiga bintang berkenaan mula beroperasi pada 18 Okt lepas, dan mempunyai 110 bilik merangkumi bilik superior, deluxe, keluarga dan apartmen berperkhidmatan.
Beliau berkata harga bilik bermula daripada RM195 sehingga RM455 dan sehingga hujung Januari depan, hotel tersebut menawarkan harga promosi bermula RM100 sehingga RM300 untuk satu malam. – BERNAMA

