NEW DELHI – India mahu meningkatkan penanaman kelapa sawit bagi mengurangkan pergantungannya terhadap import minyak yang boleh dimakan.
Sebagai sebahagian daripada skim Misi Nasional Mengenai Minyak Bijirin dan Minyak Sawit, kerajaan India hari ini menawarkan insentif dan subsidi baharu bagi menggalakkan kumpulan perniagaan yang besar untuk melabur dalam penanaman kelapa sawit.
Jumlah pengeluaran minyak boleh dimakan India adalah kira-kira sembilan juta tan, sedangkan, permintaan domestik telah mencecah 25 juta tan.
Minyak sawit menyumbang kira-kira 75 peratus daripada 680 bilion rupee (US$ 10.55 bilion) minyak sayur-sayuran import dalam tahun kewangan berakhir Mac 2016.
Kementerian Pertanian India dalam satu kenyataan, berkata subsidi kerajaan kini diperluaskan bagi melindungi pegangan yang melebihi 25 hektar untuk menarik ‘badan-badan korporat ke arah penanaman kelapa sawit’.
Polisi sekarang tidak menggalakkan para petani kecil untuk bergiat dalam penanaman kelapa sawit memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi.
India telah memperluaskan kawasan penanaman kelapa sawitnya daripada 8,585 hektar dalam 1992 kepada sekitar 300,000 hektar pada 2016.
Misi Nasional Mengenai Minyak Bijirin dan Minyak Sawit yang telah dilaksanakan sejak dari tahun kewangan 2015, bertujuan untuk menambah 125,000 hektar kawasan penanaman dalam tahun kewangan 2017.
Kementerian Pertanian berkata skim itu dibuat dalam 12 negeri iaitu di Andhra Pradesh, Karnataka, Tamil Nadu, Mizoram, Odisha, Kerala, Telangana, Chhattisgarh, Gujarat, Arunachal Pradesh, Nagaland dan Assam. – BERNAMA
