Betullah kata pepatah, kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga!
Mana taknya, kerana segelintir penyokong skuad Harimau Malaya yang menimbulkan kekecohan apabila bergaduh dan mencederakan penyokong skuad Vietnam, seluruh rakyat negara ini terpaksa menanggung malu.
Tambah memanaskan keadaan, apabila satu akaun Facebook memaparkan muka salah seorang penyokong yang terdapat dalam video kekecohan semalam digunakan untuk tujuan provokasi.
Menggunakan nama profil Daniel Akmal, akaun tersebut bagaimana pun dipercayai dibuat oleh pihak lain yang sengaja mahu mencetuskan ketegangan sedia ada.
Melalui beberapa muat naik status sejak awal pagi Isnin, pengendalinya seperti sengaja menyemarakkan api kemarahan terutama kepada penyokong Vietnam.
Namun begitu, ruangan komen di setiap status yang dimuat naik di Facebook tersebut dilimpahi dengan kritikan dan kecaman rakyat Malaysia yang tidak setuju dengan tindakan pengendali akaun laman sosial ini.
Terdapat juga, pengguna laman sosial dari Vietnam yang turut meninggalkan komen mengeji status yang dimuat naik.
Laman sosial ini boleh diibaratkan seperti meletakkan garam di luka. Mujurlah, majoriti rakyat kedua-dua negara saling menyokong antara satu sama lain atas dasar negara Asean dan semangat kesukanan.
Malah bagi pihak rakyat Malaysia, terdapat penyokong yang menulis permohonan maaf kepada penyokong Vietnam yang tercedera dalam insiden semalam.
Penyokong Vietnam pula rata-rata membalas permohanan maaf tersebut dengan positif dan menjanjikan perlawanan timbal balik nanti berlangsung aman di Stadium My Dinh, Hanoi.
Diharapkan, ramai individu membuat laporan terhadap akaun Facebook terlibat supaya ia dapat dipadamkan segera kerana kewujudannya bukan memulihkan senario semasa, tetapi cuma mengeruhkan lagi keadaan.
Yang paling kasihan adalah individu yang gambarnya paling jelas dirakamkan ketika adegan pergaduhan dengan penyokong Vietnam.. tak pasal-pasal dapat kejian rakyat Malaysia.
Itulah.. siapa suruh buat onar!? – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR








