NILAI – Penganjuran Kejohanan Memanah Universiti Asia (AUAC) 2017 yang disertai beberapa atlet memanah kebangsaan, adalah bertepatan dalam mempersiapkan mereka agar dapat menampilkan prestasi terbaik pada Sukan SEA ke-29, Ogos depan.
Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hazally Jali berkata kejohanan di Stadium Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, akan memberi kelebihan berganda kepada atlet memanah negara jika acara memanah Sukan SEA diadakan di venue sama.
“Kejohanan ini bertepatan kerana beberapa pemanah yang sedang menjalani latihan untuk Sukan SEA turut menyertainya. Ia juga platform yang amat sesuai sebab pada AUAC, mereka akan berdepan pemanah Singapura dan Filipina, yang dijangka beraksi pada Sukan SEA nanti.
“Tambahan pula, lokasi ini mungkin dipilih menjadi venue acara memanah untuk Sukan SEA…ia memberi kelebihan kepada pemanah kita dalam acara compound, mahupun recurve,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontingen Malaysia ke AUAC dan Kejohanan Bola Keranjang 3×3 Universiti Asia ketiga, di sini hari ini.
AUAC yang melibatkan penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), turut disertai pemanah kebangsaan – Muhamad Fareez Rosli, Fatin Nurfa Atehah Mat Salleh dan Nurul Syazhera Mohd.
Dalam pada itu, Hazally optimis pasukan memanah negara pada Kejohanan AUAC kali pertama anjuran KPT dengan sokongan Persekutuan Sukan Universiti Asia (AUSF) itu, mampu mempamerkan prestasi lebih baik bagi kedua-dua acara, compound dan recurve berdasarkan persiapan rapi yang dibuat sebelum ini.
Bagi Kejohanan Bola Keranjang 3×3 Universiti Asia pula, beliau berkata penganjuran kejohanan itu juga memberi peluang untuk mengetengahkan bakat sedia ada.
“Ia selaras dengan program-program bola keranjang yang sentiasa kita utamakan terutamanya dalam Liga Bola Keranjang Institusi Pengajian Tinggi Awam oleh Majlis Sukan Mahasiswa di KPT.
“Malaysia diberi kepercayaan untuk menganjurkan kejohanan kali ketiga itu selepas Thailand menarik diri atas sebab-sebab tertentu,” katanya.
Kedua-dua kejohanan itu akan berlangsung pada 12 hingga 16 April ini, yang menyaksikan AUAC di USIM, manakala Kejohanan Bola Keranjang 3×3 Universiti Asia di Gem Inn Mall, Cyberjaya.
AUAC yang menawarkan lapan pingat emas, turut disertai pemanah dari China, Nepal dan Taiwan, manakala Kejohanan Bola Keranjang 3×3 Universiti Asia yang menyediakan dua pingat emas, disertai pasukan China, Nepal, Taiwan, Iran, Mongolia dan Hong Kong. – BERNAMA