KUALA LUMPUR – Felda United FC akhirnya menerima lampu hijau daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menggunakan Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Jengka, Pahang, untuk perlawanan Piala AFC.
Dalam kenyataan di Facebook rasmi Felda United, pasukan itu akan memulakan aksi sulung di stadium tersebut dalam saingan Piala AFC menentang wakil Singapura, Tampines Rovers pada 19 April ini.
“Setelah perbincangan semula diadakan di antara pihak pengurusan Felda United dan pihak penganjur (AFC), telah mendapat kata putus untuk melulus dan membenarkan penggunaan STAR,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, setiausaha agung pasukan ‘The Fighter’ itu, Zulkarnain Muhammad berterima kasih kepada AFC kerana membenarkan pasukan itu beraksi di perlawanan akhir di gelanggang sendiri pada saingan peringkat Kumpulan G.
“Matlamat utama kita mengadakan perbincangan semula dengan AFC adalah khas buat para penyokong Felda United di mana ketika beraksi di Stadium Shah Alam para penyokong mengeluh kerana venue adalah berjauhan.
“Semoga pada perlawanan menentang Tampines Rovers para penyokong dapat membanjiri stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan Felda United,” katanya.
Felda United sebelum ini menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah dalam perlawanan menentang Hanoi FC (7 Mac) dan Ceres Negros (4 April) setelah pihak AFC menolak permohonan awal untuk menggunakan Stadium STAR berikutan isu penginapan pemain. – BERNAMA