MIRI – Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menjumpai mayat seorang juragan warga India yang terjatuh dari bot tunda ke dalam Sungai Baram di Long Lama, dua hari lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Zulbada Alior berkata, mangsa Shubham Patidar, 22, yang berasal dari Uthar Medhyapradesh, India dijumpai di tengah sungai berhampiran Kampung Long Banyok, 10km dari lokasi kejadian.
“Mayat dijumpai pada pukul 9.30 pagi ini dan akan dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat,”katanya kepada Bernama.
Mangsa yang pandai berenang dilaporkan tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai ketika sedang menarik tali bot tunda pada pukul 4 petang Khamis lepas.
Arus sungai yang terlalu deras semasa kejadian berlaku menyebabkan mangsa gagal berenang untuk menyelamatkan diri. – BERNAMA

