SANDAKAN – Tiga mayat dipercayai mangsa banjir lumpur akibat kejadian tanah runtuh di Ladang Sen Fu, Tongod, Kinabatangan Sabtu lepas, ditemukan di dua lokasi berasingan di Tongod.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata satu mayat ditemukan timbul di sungai berhampiran Kampung Mangkuwagu semalam oleh orang awam manakala dua lagi dijumpai di sungai berhampiran Kampung Masaum pagi ini.
“Maklumat itu diterima daripada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Pinangah, justeru operasi pasukan SAR hari ini tertumpu kepada mencari dan mengambil mayat di dua kawasan itu.
“Perjalanan ke tempat kejadian mengambil masa dua jam menggunakan bot dari Pinangah,” kata JBPM Sabah dalam kenyataan hari ini.
Operasi yang masuk hari keempat hari ini membabitkan 17 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm), lapan anggota Pasukan Multi-Skill Team (MUST), 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Sandakan serta lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau.
PPDA Zon Sandakan menumpukan operasi mencari tiga mangsa yang timbul di dua kawasan berlainan, manakala operasi SAR di kawasan Sungai Labou menumpukan pencarian mangsa lain yang tertumpu di bawah timbunan kayu balak, batu dan lumpur di tempat kejadian.
Pada kejadian 1 April lepas, banjir lumpur akibat tanah runtuh menghempap tiga rumah pekerja di ladang kelapa sawit itu menyebabkan tujuh penghuni rumah tersebut hilang dihanyutkan banjir lumpur. – BERNAMA

