KOTA KINABALU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah sentiasa menyokong dan memberi kerjasama terhadap usaha memajukan aktiviti sukan dron di negeri ini, kata Menterinya Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata Kelab Dron Sabah yang dilancarkan hari ini perlu berusaha memajukan aktiviti itu termasuk mendapatkan rakan pintar bagi tujuan pembangunan sukan rekreasi itu.
“Kita harap agar Sabah menjadi negeri terawal menerokai sukan dron sebagai persediaan sekiranya suatu hari nanti ia dipertandingkan di peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA,” katanya ketika berucap melancarkan Kelab Dron Sabah di sini, hari ini.
Beliau yang mengalu-alukan inisiatif tersebut mencadangkan agar kelab itu berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan Malaysia bagi memudahkan kementerian untuk menyalurkan dana bagi penganjuran pelbagai aktiviti.
“Syabas dan tahniah kerana saya difahamkan Kelab Dron Sabah merupakan kelab dron pertama di Malaysia yang berdaftar,” katanya.
Pengerusi Kelab Dron Sabah Jabansyah Shahdan berkata kelab berkenaan ditubuhkan dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada Mac 2016.
“Tujuan kelab ini ditubuhkan adalah untuk mewujudkan platform perkongsian maklumat berkenaan dron oleh para peminat aktiviti ini di seluruh Sabah,” katanya. – BERNAMA

