BAGAN SERAI – Kira-kira 30 keluarga di Kampung Tepi Sungai Ulu Sepetang dekat sini terputus hubungan apabila sebuah titi konkrit runtuh akibat dilanda arus Sungai Ulu Sepetang, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tujuh jam sejak 5 petang semalam sehingga menyebabkan tebing tanah terhakis seterusnya mengakibatkan titi yang menghubungkan Kampung Tepi Sungai dan Kampung Ulu Sepetang runtuh.
Seorang penduduk, Mohamad Razali Md Piah, 60, berkata kejadian itu menyebabkan penduduk tidak dapat keluar untuk berurusan kerana jalan lain juga telah ditenggelami air.
“Kita harap titi ini dapat dibaiki dengan segera bagi membolehkan penduduk berulang alik untuk menghantar anak ke sekolah dan masjid berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata sebanyak 29 rumah penduduk Kampung Ulu Sepetang dinaiki air banjir kilat sedalam 0.5 meter.
Katanya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian yang melakukan pemantauan bermula malam tadi memaklumkan titi itu hanya disedari runtuh oleh penduduk pada awal pagi ini.
Pegawai APM Daerah Kerian, Kapten (PA) Rahmat Paimin berkata laluan utama Kampung Ulu Sepetang ke Jalan Kerian sepanjang satu kilometer terputus untuk kegunaan kenderaan ringan bermula 5 pagi tadi.
Katanya laluan itu ditenggelami banjir berpunca daripada limpahan air sungai kecil di Kampung Ulu Sepetang akibat pertembungan air dari dua sungai utama iaitu Sungai Sepetang dan Sungai Patin. – BERNAMA

