KUALA LUMPUR – Jurulatih baharu Harimau Malaysia, Mario Gomez mempertahankan kemunculan semula empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mewakili skuad kebangsaan.
Kata beliau, empat pemain itu iaitu Mohd. Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S.Kunanlan dan Mohd. Amirul Hadi Zainal merupakan aset kepada negara.
“Mereka telah banyak menabur bakti dan jasa kepada negara sebelum mereka membuat keputusan bersara dari peringkat antarabangsa.
“Dengan pengetahuan saya tentang taktikal permainan sebahagian pemain tempatan, ianya adalah satu corak permainan baharu yang akan digunakan untuk skuad kebangsaan.
“Hanya mereka yang tidak tahu mengenai bola sepak akan menyangkal kenyataan dan menafikannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pengumuman Mohd. Safiq, Aidil Zafuan, Kunalan dan Mohd. Amirul Hadi untuk kembali mewakili skuad kebangsaan selepas mengumumkan pesaraan mereka pada tahun lalu mengundang kritikan ramai pihak.
Peminat bola sepak tempatan di media sosial turut melahirkan rasa kurang senang terhadap sikap mereka yang dilihat tidak profesional dan bertanggungjawab dalam mewakili negara.
Keempat-empat pemain itu sebelum ini mengumumkan bersara daripada mewakili pasukan negara melalui laman Facebook rasmi pasukan JDT.
Mereka dikatakan berhasrat kembali mewakili negara selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). – MYNEWSHUB.CC