SHAH ALAM – Gara-gara mahu mempolitikkan bola sepak, kerajaan Selangor memecah tradisi lama apabila mengumumkan sokongan kepada PKNS FC berbanding pasukan induknya, FAS sendiri.
Menurut portal tempatan AgendaDaily, langkah pelik itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Amirudin Shari semalam.
Beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini berkata, konon apa yang berlaku hanya ‘perubahan arah tuju’ kerajaan negeri untuk memberi sokongan penuh kepada skuad PKNS FC berbanding FAS.
Katanya, keputusan drastik itu dibuat berikutan makluman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mensyaratkan agar semua urusan pentadbiran pasukan bola sepak negeri diswastakan dan diurus secara mandiri.
“Sebenarnya tiada tersurat atau tersirat. Secara jelasnya sebagaimana dimaklumkan dalam kenyataan dan pendirian kerajaan negeri serta sesuai dengan keputusan FAM mensyaratkan semua pasukan diswasta dan diurus sendiri.
“Maknanya, pengurusan daripada presidennya ataupun ketuanya haruslah ada keputusan dan pengurusan yang bebas, selain elak pergantungan terhadap mana-mana jabatan terutama agensi kerajaan atau individu tertentu.
“Sebab itu, langkah pertama yang telah diambil oleh Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) selaku Presiden FAS ketika itu ialah untuk menyegerakan proses penswastaan pasukan negeri,” dalih Amirudin lagi.
Beliau malah menambah, setelah meneliti beberapa peraturan FAM, PKNS hanya memerlukan beberapa langkah sahaja lagi terutama dari segi birokrasi dokumentasi untuk melengkapkan segala proses penswastaan pasukan.
Alasan dinyatakan Amirudin mungkin logik namun penganalisis politik melihat puncanya ekoran pemilihan Datuk Seri Subahan Kamal sebagai presiden baharu FAS ketika mesyuarat agung luar biasa di sini pada 23 Februari lalu.
ADUN Barisan Nasional di Taman Templer dan Exco Pemuda UMNO itu menggantikan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR setelah melepaskan jawatan menerajui FAS secara mengejut pada 30 Disember tahun lalu.
Ini menyaksikan FAS yang ditubuhkan sejak 1936 dan muncul juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, buat julung kali dalam sejarah tidak lagi menerima dana tahunan daripada kerajaan negeri diterajui Pakatan Harapan itu.
Bagaimanapun untuk melengkapkan proses penswastaan itu sepenuhnya ujar Amirudin, antara halangan paling besar ialah kedudukan Menteri Besar Selangor sendiri kerana beliau lazimnya juga adalah Pengerusi PKNS.
“Atas kapasiti selaku Menteri Besar dan juga Pengerusi PKNS, maka kerajaan negeri ambil keputusan untuk Menteri Besar lepaskan jawatan Presiden FAS dan biarkan FAS mencari jalan sendiri untuk proses penswastaan,” katanya.
Untuk rekod, ini bukan kes pertama apabila pasukan negeri tidak diberi bajet oleh kerajaan negerinya sendiri hanya kerana perbezaan ideologi politik dan antara paling unik ialah skuad Kelantan setelah PAS menawan negeri itu.
Tidak ketinggalan Pulau Pinang dengan kerajaan DAP negeri itu hanya salur dana kepada PBAPP FC berbanding skuad Harimau Kumbang sendiri sehinggalah tokoh parti tersebut menerajui FAP. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

