Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekali lagi menegaskan pendaftaran pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero adalah mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia.
MFL dalam satu kenyataan berkata, pengesahan pemain terbabit adalah dengan menggunakan kad pengenalan yang sah sebagai warganegara Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
“Proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan adalah dua perkara berbeza. Proses pengesahan status dan pendaftaran pemain naturalisasi di dalam Liga Malaysia adalah seperti yang dijelaskan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Perkara 4.5.9.
“Ini dengan merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, di bawah 01 Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran Dan Perpindahan Pegawai Dan Pemain; 3.3 Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM Mypas (FIFA Connect); Perkara C, Pemain Tempatan Dan Asing iaitu mewajibkan salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MFL, perkara itu turut dijelaskan menerusi surat pekeliling kepada semua kelab Liga Malaysia bertarikh 12 Jun 2025, perkara 8.2 menyatakan dokumen-dokumen yang wajib dikemas kini dan dimuat naik dalam format pdf untuk proses kelulusan bagi a) Pemain Tempatan Dan Asing: i. Salinan kad pengenalan berwarna atau salinan passport berwarna.
Justeru, kata MFL, seperti kenyataan medianya pada 13 Mac lalu, empat pemain tersebut telah didaftarkan dalam Liga Malaysia sebagai pemain tempatan dan bukan pemain naturalisasi.
“Sebagai pemain tempatan, keempat-empat pemain ini boleh didaftarkan terus bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026 di mana Figueiredo, Irazabal dan Hevel didaftarkan pada tempoh pertama pendaftaran pemain 9 Jun-31 Ogos 2025 oleh JDT.
“Manakala Palmero yang ketika itu dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) didaftarkan oleh Kuching City FC pada tempoh kedua pendaftaran pemain 5 Jan-1 Februari 2026,” kata kenyataan itu.
Tegss kenyataan itu, keputusan MFL mengiktiraf pemain berkenaan sebagai pemain tempatan malah diperakui Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor Paul John pada 13 Mac lalu dengan menjelaskan tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil kerana ia mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia.
Terdahulu, MFL berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai tindakan sekumpulan individu mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat MFL semalam.
Kata kenyataan itu, MFL menghormati hak setiap pihak untuk menyuarakan sebarang pandangan namun sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, reputasi industri bola sepak tempatan serta mencetuskan persepsi negatif terhadap ekosistem bola sepak negara adalah tidak wajar.
“Sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri.
“MFL menyeru semua pihak agar menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul demi memastikan keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Malaysian Football League


