KATA orang, kalau sudah jodoh pasti tidak akan ke mana.
Pernah melalui fasa putus tunang dan menjangkau usia 30 tahun, jejaka kacak pelakon, penyampai radio dan pengacara, Azizul Ammar Abu Hassan atau lebih dikenali dengan Ammar Titan mengakui bahawa dia tidak khuatir andai belum ada kekasih.
Terbaharu, Ammar menerusi laman Harian Metro memberitahu bakal menamatkan zaman bujangnya dengan bekas tunangnya; Nur Amalina Jamil, 28; pada 1 April akan datang.
Ternyata ketentuan dan perancangan dari Yang Maha Esa adalah yang lebih baik dan sempurna.

Keputusan itu diambil selepas dia bertindak melamar bekas tunangnya tahun ini setelah berpisah tiga tahun lalu.
“Alhamdulillah, dia terima lamaran saya. Insya-Allah saya akan menjadi suami terbaik untuknya.
“Mungkin inilah yang dinamakan jodoh selepas putus tunang tiga tahun lalu. Biarpun tiada ikatan, kami masih berkawan baik.
“Saya memilih dia kerana tertarik dengan karakter dan sifatnya yang merendah diri,” katanya.
Tambah Ammar kepada laman itu, majlis pernikahan dia dan Amalina akan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga sahaja di Banting, Selangor.
Menerusi penelitian di laman Instagram milik selebriti ini, dia ‘belum bersedia’ untuk mendedahkan wajah bakal isterinya itu.
Apa-apa pun, kami doakan segala yang dirancang oleh Ammar dan pasangan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan. – MYNEWSHUB.CC

