LANGKAWI – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini menyarankan penganjur Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) menyediakan lebih banyak peluang untuk industri pertahanan negara bekerjasama dengan pihak luar.
Titahnya usaha sama sedemikian bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada syarikat tempatan tetapi juga angkatan tentera negara.
“LIMA telah menjadi pentas bagi negara-negara peserta mempamerkan kekuatan persenjataan dan teknologi peperangan manakala syarikat-syarikat memperkenalkan produk terbaharu mereka.
“Dalam konteks ini kerajaan khususnya wajar mengambil kesempatan meraih sebaik mungkin peluang yang terbuka luas melalui penganjuran LIMA,” titah baginda.
Terdahulu Tuanku Syed Faizuddin berkenan berangkat melawat kapal tentera laut Jepun, JS Teruzuki, dan kapal perang jenis korvet tentera laut Bangladesh, BNS Protoy di Awana Porto Malai Langkawi yang mengambil bahagian dalam LIMA 2017, di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Di atas kapal JS Teruzuki, baginda berdua mendengar taklimat yang dipersembahkan oleh Pegawai Memerintah, Kondo Masashi manakala di atas kapal BNS Protoy, taklimat disampaikan oleh pegawai eksekutif (XO) Mehedi Hasan.
Baginda juga menyarankan agar LIMA edisi ke-15 pada 2019 dipromosikan dengan lebih agresif termasuk keindahan Pulau Langkawi untuk meningkatkan lagi kedatangan pelancong asing ke negara ini. – BERNAMA
